fb fb fb fb fb

Tehran kutuk dasar Trump, anggap langgar undang-undang antarabangsa

Foto Reuters

TEHRAN, 8 Jun – Iran mengecam keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang melaksanakan semula larangan perjalanan terhadap beberapa negara termasuk Republik Islam itu, dengan menyifatkannya sebagai bukti “kebencian mendalam” terhadap rakyat Iran dan umat Islam.

“Keputusan kerajaan AS untuk melarang warganegara Iran, semata-mata berdasarkan agama dan kewarganegaraan mereka, bukan sahaja mencerminkan kebencian mendalam terhadap rakyat Iran dan umat Islam, malah merupakan pelanggaran terhadap... undang-undang antarabangsa,” kata seorang pegawai kanan Kementerian Luar Iran dalam kenyataan rasmi yang disiarkan di platform media sosial X.

Larangan yang diumumkan Trump pada Rabu, 4 Jun, itu akan mula berkuat kuasa pada Isnin, 9 Jun pukul 12:01 pagi EDT (0401 GMT), dan turut melibatkan rakyat dari Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

Trump menyatakan larangan itu perlu bagi melindungi Amerika Syarikat daripada “pengganas asing”, satu justifikasi yang mengingatkan kembali kepada dasar kontroversi beliau semasa penggal pertama sebagai Presiden dari 2017 hingga 2021, apabila beliau turut mengenakan larangan perjalanan terhadap pelancong dari tujuh negara majoriti Islam.

Iran menegaskan dasar seumpama itu bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi, serta boleh mencetuskan ketegangan diplomatik antara AS dan dunia Islam.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN