fb fb fb fb fb

Greta Thunberg hampiri Gaza bersama misi bantuan kemanusiaan

Foto FB Greta Thunberg

KAHERAH, 8 Jun- Sebuah kapal bantuan yang membawa 12 aktivis, termasuk aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg, kini semakin menghampiri Gaza selepas tiba di pesisir pantai Mesir.

Kapal Madleen, yang merupakan sebahagian daripada misi anjuran 'Freedom Flotilla Coalition', telah berlepas dari Sicily minggu lalu membawa bekalan bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Aktivis hak asasi manusia dari Jerman, Yasemin Acar memaklumkan bahawa kapal kini berada berhampiran pesisir Alexandria, dan dijangka tiba di Gaza pada pagi Isnin.

"Kami kini belayar di pesisir pantai Mesir. Semua dalam keadaan baik. Kami kini kira-kira 288 batu nautika dari Gaza. Ini bermakna menjelang petang Ahad, kami akan berada hampir dengan perairan Gaza,” katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, kru kapal melaporkan beberapa insiden penglihatan dron sepanjang pelayaran.

Menurut satu video yang dimuat naik oleh pihak penganjur di media sosial, sebuah dron jenis Heron milik Pengawal Pantai Hellenic melintasi Madleen pada malam Selasa.

Beberapa jam kemudian, dua lagi dron dipercayai milik agensi sempadan Kesatuan Eropah, Frontex turut mendekati kapal tersebut.

Satu lagi dron dilaporkan muncul pada awal pagi Khamis.

Para aktivis berkata kru kapal berada dalam keadaan selamat, namun percaya bahawa pemantauan melalui dron itu bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka.

"Kami sedar sepenuhnya akan risiko yang mungkin berlaku," kata Acar.

Beliau turut memaklumkan bahawa Madleen belayar di bawah bendera United Kingdom.

"Jika Israel menyerang kami, itu akan menjadi satu lagi jenayah perang. Kami tidak akan menjalankan misi ini sekiranya kami tidak percaya bahawa kami mampu sampai ke Gaza," katanya lagi.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM