BOGOTA, 8 Jun – Senator pembangkang Colombia, Miguel Uribe Turbay telah ditembak di Bogota pada Sabtu semasa menghadiri acara kempen di sebuah taman awam, menurut kenyataan daripada kerajaan dan partinya.
Menurut kenyataan rasmi Parti Pusat Demokratik, Turbay, 39, sedang menganjurkan acara kempen di kejiranan Fontibon ketika “individu bersenjata telah menembak beliau dari belakang.”
Parti itu menyifatkan serangan tersebut sebagai serius, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan kesihatan beliau setakat ini.
Pejabat Presiden Colombia mengecam insiden itu dan menyatakan kerajaan “menolak sekeras-kerasnya serangan ganas tersebut,” serta menggesa siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti pelaku dan motif.
Rakaman video menunjukkan anggota polis dan orang awam mengangkat Turbay ke dalam ambulans selepas kejadian.
Miguel Uribe merupakan ahli Parti Pusat Demokratik, sebuah parti konservatif pembangkang yang diasaskan oleh bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe.
Walaupun berkongsi nama keluarga, kedua-duanya tiada hubungan kekeluargaan.-REUTERS