DOHA, 12 September - Delegasi Hamas telah mengadakan pertemuan dengan pengantara Qatar dan Mesir semalam bagi meneruskan perbincangan mengenai gencatan senjata di Gaza, termasuk pertukaran tahanan.
Kumpulan Hamas menghantar pegawai kanannya, Khalil al-Hayya untuk mengadakan rundingan bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani dan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel.
"Antara yang bincangkan ialah perkembangan berkaitan perjuangan Palestin dan pencerobohan di Gaza", kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Begitupun rundingan terbaharu itu tidak menunjukkan sebarang persetujuan untuk gencatan senjata dan pembebasan tahanan.
Pejuang Hamas bagaimanapun mengulangi kesediaan mereka untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata berdasarkan pengisytiharan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.
Biden pada Mei lepas mengumumkan cadangan tiga fasa perjanjian bagi menamatkan konflik di Gaza.
Fasa pertama antaranya merangkumi gencatan senjata penuh selama enam minggu dengan tentera negara haram Israel perlu berundur dari semua kawasan berpenduduk di Gaza.-AFP