fb fb fb fb fb

Rubio: Pegawai AS di Malaysia bantu usaha gencatan senjata

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio/Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat kini berada di Malaysia bagi membantu usaha damai antara Kemboja dan Thailand yang dijadual memulakan rundingan gencatan senjata di sini pada Isnin.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Presiden Donald Trump dan beliau sendiri sedang berhubung rapat dengan pemimpin kedua-dua negara dan memantau situasi secara dekat.

“Kami mahu konflik ini ditamatkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara lewat Ahad waktu AS dan awal pagi Isnin waktu Asia.

Kerajaan Thailand sebelum ini mengesahkan kehadiran pemimpin kedua-dua negara ke Malaysia untuk rundingan damai susulan konflik berdarah di sempadan.

Kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan artileri di kawasan pertikaian.

Ketegangan memuncak sejak insiden tembakan yang mengorbankan seorang tentera Kemboja pada akhir Mei.

Keadaan menjadi semakin genting apabila kedua-dua negara meningkatkan kekuatan tentera di sempadan masing-masing sehingga mengheret kerajaan campuran Thailand ke ambang kejatuhan.

Pertempuran terbaharu yang meletus Khamis lalu merupakan yang terburuk dalam lebih sedekad, dengan angka korban kini melebihi 30 orang termasuk 13 orang awam di Thailand dan lapan di Kemboja.

Lebih 200,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sempadan.

Sementara itu, Trump dalam kenyataan berasingan menegaskan beliau percaya kedua-dua negara mahu menyelesaikan perbezaan, dan memberi amaran tidak akan memeterai perjanjian perdagangan selagi konflik belum ditamatkan. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD