MEXICO CITY, 28 Julai – Penduduk Mexico City berhimpun di pusat bandar pada Ahad untuk mengecat semula mural sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang kini berada di bawah kepungan tentera Israel.
Mural yang terletak di pagar logam mengelilingi monumen Juarez Hemicycle itu telah dicat semula sejak serangan tentera Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, menurut para aktivis.
Alma Alvarado, wakil dari Platform Antarabangsa Solidariti untuk Palestin yang turut serta dalam inisiatif tersebut, menyifatkan keadaan yang dihadapi rakyat Palestin sebagai amat menyayat hati.
“Orang ramai sedang mati kelaparan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat seminggu selepas agensi bantuan antarabangsa memberi amaran wujud kebuluran besar melanda 2.2 juta penduduk Gaza, sekali gus mencetuskan kebimbangan global.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 1,000 penduduk Gaza terbunuh ketika cuba mendapatkan bekalan makanan, majoritinya di kawasan edaran bantuan yang dikawal ketat oleh tentera berhampiran tapak agihan GHF (Gaza Humanitarian Foundation).
GHF merupakan pertubuhan bantuan swasta yang menggunakan khidmat bekas pegawai CIA dan veteran tentera AS melalui syarikat logistik berpangkalan di Amerika.
Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan lebih 130 kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat sejak serangan bermula, termasuk 6 kematian baharu dalam tempoh 24 jam lalu.
Israel berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung krisis kemanusiaan di Gaza.
Rundingan gencatan senjata secara tidak langsung antara Israel dan Hamas di Doha pula gagal mencapai sebarang persetujuan.
Sejak operasi ketenteraan bermula Oktober lalu, seramai hampir 60,000 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan udara, tembakan dan pengeboman oleh tentera Israel. - REUTERS