fb fb fb fb fb

Angka korban di Gaza hampiri 60,000 orang

Foto REUTERS

GAZA, 28 Julai – Jumlah korban rakyat Palestin akibat konflik berterusan di Gaza kini meningkat kepada 59,821 orang, manakala 144,851 lagi cedera, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad.

Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, 88 lagi terbunuh manakala 374 cedera susulan serangan baharu oleh tentera Israel.

Dalam pada itu, trak bantuan kemanusiaan mula memasuki Gaza pada pagi Ahad melalui pintu sempadan Kerem Shalom, menurut sumber tempatan Palestin.

Kemasukan bantuan itu berlaku di tengah-tengah rayuan antarabangsa yang semakin meningkat supaya laluan bantuan segera dipermudahkan.

Penduduk Gaza terus berdepan krisis kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas lain, dengan lebih dua juta orang terjejas sejak konflik meletus pada 7 Oktober 2023.

Beberapa kawasan di Gaza Utara turut menerima bantuan melalui udara pada Sabtu, namun kaedah itu dikritik sebagai tidak efektif.

Ketua Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, menyifatkan penghantaran bantuan melalui udara sebagai “cara paling mahal dan paling tidak efisien” untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD