(Youssef Ezzat (kanan) menghadiri rundingan damai di Togo/Foto AFP)
LOME, 25 Julai- Pasukan Separa Tentera Sudan (RSF) telah bersedia untuk menamatkan peperangan.
Wakilnya, Youssef Ezzat ketika menghadiri rundingan damai di Togo berkata sudah tiba masanya, keamanan dikembalikan di Sudan, khususnya Darfur.
Peperangan antara RSF dengan tentera Sudan sudah melepasi 100 hari.
RSF katanya, bersedia menyertai mana-mana rundingan damai, menyatukan rakyat serta memulakan masa depan baharu.
"Kami bersedia untuk menyertai rundingan bagi keamanan dan menyatukan orang ramai, sekali gus menghentikan perang di Darfur dan Sudan,” kata Youssef Ezzat kepada AFP di luar perbincangan di Lome.
"Ini masanya untuk menamatkan perang, memulakan masa depan baharu untuk rakyat Sudan, keamanan, pembangunan, kesaksamaan.
"Itulah yang kami cari dan saya fikir sudah tiba masanya untuk keamanan itu," tambahnya.
(Youssef Ezzat/Foto AFP)
Konflik bersenjata yang tercetus di ibu negara Khartoum pada 15 April dan merebak ke Darfur telah menyebabkan sekurang-kurangnya 3,000 maut di seluruh Sudan dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal.-AFP