fb fb fb fb fb

Liwat, tiga lelaki dihukum rejam sampai mati di Nigeria


KANO, NIGERIA, 2 Julai
- Mahkamah Islam di Bauchi, utara Nigeria menjatuhkan hukuman rejam sampai mati terhadap tiga lelaki kerana meliwat dua kanak-kanak lelaki.

Polis Syariah atau pegawai Hisbah, Adamu Dankafi, berkata mahkamah di bandar Ningi itu menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga pesalah pada Rabu lalu.

Katanya, mereka didakwa meliwat dua kanak-kanak lelaki yang juga adik beradik selepas memberikan mereka dadah.

"Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga lelaki itu kerana melakukan perbuatan homoseksual dengan dua beradik lelaki berusia 10 dan 12 tahun.

"Ketiga-tiga mereka akan direjam hingga mati seperti yang ditetapkan oleh Kanun Keseksaan Syariah negeri Bauchi berdasarkan pengakuan mereka ketika disoal siasat di hadapan mahkamah," katanya.

Merogol (termasuk meliwat) kanak-kanak bawah umur boleh dihukum mati bawah undang-undang Syariah Nigeria, walaupun seperti kebanyakan hukuman mati yang lain tidak pernah dikuatkuasakan.

Dalam kes ini, semua lelaki itu didakwa bawah undang-undang yang berkaitan dengan perbuatan homoseksual.

Bauchi adalah antara negeri di utara Nigeria dengan majoriti penduduknya beragama Islam yang mana undang-undang Syariah dilaksanakan bersama keadilan jenayah biasa.


(Peta Bauchi, negeri di utara Nigeria /AFP)

Katanya, tertuduh ditahan di kampung Gwada pada Mei lalu berikutan aduan diterima daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang mendakwa anak mereka diberikan dadah sebelum diperlakukan seperti itu.

"Lelaki berusia antara 20 dan 70 tahun itu tidak diwakili peguam ketika perbicaraan sehari dan mereka mempunyai masa sebulan untuk membuat rayuan," katanya. - AFP

Media Baharu