(Sunak melambai tangan setelah diumumkan sebagai pemenang pertandingan kepimpinan Parti Konservatif, pada 24 Oktober 2022/AFP)
LONDON, 25 Oktober- Rishi Sunak dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu Britain. Sekali gus, menjadi Perdana Menteri pertama negara itu berketurunan India.
Pelantikan secara rasminya dijangka dibuat hari ini selepas Liz Truss mempersembahkan peletakan jawatannya kepada Raja Charles III.
Menurut Downing Street, Truss akan mengadakan mesyuarat Kabinet yang terakhir sebelum membuat kenyataan pada pukul 10.15 pagi, waktu tempatan.
Ia akan disusuli dengan pelantikan Sunak oleh Raja Charles III, sebelum beliau menyampaikan perutusan sebagai Perdana Menteri baharu pada pukul 11.35 pagi.
(Sunak melambai tangan setelah diumumkan sebagai pemenang pertandingan kepimpinan Parti Konservatif, pada 24 Oktober 2022/AFP)
Berucap buat kali pertama di khalayak, pemimpin baharu itu berkata Britain sedang berdepan dengan ekonomi yang mencabar dan berikrar untuk membawa kestabilan dan perpaduan.
"Kita kini memerlukan kestabilan dan perpaduan dan menjadikan keutamaan saya untuk membawa parti kita dan negara kita bersama," tambahnya.
Pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi, mengucapkan tahniah kepada pemimpin baharu UK itu.
Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin berkata beliau mengalu-alukan bersama menangani "isu penting yang kita hadapi di pulau-pulau ini", manakala Majlis Eropah, Charles Michel menyatakan "bekerja bersama adalah satu-satunya cara untuk menghadapi cabaran bersama".- AFP