fb fb fb fb fb

Ribut salji akibatkan Lapangan Terbang Istanbul ditutup dan penerbangan dibatalkan

FOTO AFP




ATHENS, 25 Januari- Lapangan terbang tersibuk di Eropah di Istanbul ditutup manakala sekolah dan pusat vaksinasi ditutup di Athens ketika ribut salji yang jarang berlaku menyelubungi kawasan timur Mediterranean, menyebabkan terputus bekalan elektrik dan kekacauan lalu lintas.


Penutupan Lapangan Terbang Istanbul disebabkan bumbung salah satu terminal kargo runtuh menyebabkan penerbangan dari Timur Tengah dan Afrika ke Eropah dan Asia terpaksa ditangguhkan.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Salji pertama musim sejuk mencipta suasana ceria merentasi dataran masjid purba Istanbul, tempat kanak-kanak membina “snowman” dan pelancong bergambar swafoto.


Tetapi ia menimbulkan keresahan kepada 16 juta penduduk di bandar terbesar di Turki itu, apabila salji tebal menyebabkan kereta merempuh satu sama lain dan terbabas terbabas ketika menuruni jalan yang curam, dan lebuh raya bertukar menjadi tempat letak kereta.


Pejabat gabenor Istanbul memberi amaran kepada pemandu bahawa mereka tidak akan dapat memasuki bandar itu dari Thrace, wilayah yang merentangi bahagian Eropah Turki ke sempadan baratnya dengan Bulgaria dan Greece.


Pusat beli-belah ditutup awal, perkhidmatan penghantaran makanan ditutup dan gerai bagel "simit" ikonik bandar itu kosong kerana pembekal tidak dapat melalui salji.


Pegawai trafik juga menutup jalan utama merentasi sebahagian besar tengah dan tenggara Turki, kawasan pergunungan yang pertama dilanda ribut salji minggu lalu.


Lapangan Terbang Istanbul memberi perkhidmatan kepada lebih 37 juta penumpang pada tahun lepas, menjadi salah satu hab udara yang paling penting.


Tetapi pengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan telah lama mempersoalkan keputusannya untuk meletakkan lapangan terbang itu di kawasan terpencil di sepanjang pantai Laut Hitam yang sering dilitupi kabus pada musim sejuk.


"Disebabkan keadaan buruk, semua penerbangan telah dihentikan buat sementara waktu untuk keselamatan udara," menurut satu kenyataan daripada lapangan terbang itu.


Turkish Airlines berkata ia menangguhkan semua penerbangan Lapangan Terbang Istanbul sehingga sekurang-kurangnya 4:00 pagi (0100 GMT) Selasa.


Namun, ia menjangkakan perkhidmatan dapat disambung semula sebelum tengah malam.-AFP

Media Baharu