HAVANA, 7 November- Ribut tropika Rafael telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik di seluruh Cuba pada Rabu ketika ia melanda pulau yang sudah pun terjejas akibat gangguan bekalan elektrik baru-baru ini serta taufan yang dahsyat sebelumnya.
Rafael, yang menguat menjadi taufan Kategori 3, melanda pulau Caribbean yang berpopulasi 10 juta orang itu.
Ia membadai di wilayah barat Artemisa, di timur pantai Playa Majana, sekitar pukul 9.00 malam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan AS (NHC).
NHC melaporkan Rafael melintasi pulau tersebut dalam tempoh dua setengah jam sebelum kehilangan kekuatan ketika memasuki Teluk Mexico.
Ahli meteorologi AS telah memberi amaran tentang lonjakan ribut yang mengancam nyawa dan banjir kilat.
Syarikat tenaga nasional, Union Electrica, menyalahkan angin kencang akibat Rafael sebagai punca gangguan bekalan elektrikā dalam satu kiriman di platform X.
Sembilan daripada 15 wilayah di Cuba, termasuk Havana, telah diletakkan dalam status amaran ribut.
Di Candelaria, sebuah bandar yang terjejas teruk di wilayah Artemisa, angin kencang menyebabkan dahan-dahan pokok tumbang dan sampah sarap bertaburan di jalanan.
Lebih 70,000 orang dipindahkan dari rumah mereka di Artemisa dan wilayah Pinar del Rio yang bersebelahan di bahagian paling barat pulau tersebut.
Di Havana, yang mempunyai populasi dua juta orang, jalanan hampir kosong: perniagaan ditutup, beberapa stesen minyak telah menanggalkan pam minyak, dan perkhidmatan pengangkutan dihentikan.
Akhbar negara Granma melaporkan bahawa lapangan terbang di bahagian barat negara, termasuk di Havana dan bandar peranginan Varadero, telah ditutup sementara akibat ribut tersebut.
Satu amaran ribut tropika juga dikeluarkan untuk Florida Keys.-AFP