SYDNEY, 3 Julai- Cuaca buruk melanda bandar Sydney untuk hari kedua berturut-turut sehingga menyebabkan puluhan penerbangan dibatalkan, pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik ke atas puluhan ribu kediaman di tenggara Australia.
Menurut Jabatan Meteorologi Australia, fenomena berkenaan disebabkan oleh sistem tekanan rendah pesisir pantai, yang digambarkan sebagai 'taufan bom', dengan kelajuan angin mencecah lebih 100 kilometer sejam, menyebabkan pokok tumbang serta kerosakan talian elektrik.
Manakala, di beberapa kawasan, hujan dalam tempoh enam jam bersamaan jumlah taburan purata untuk sebulan.
Lebih 35,000 hartanah di New South Wales itu mengalami gangguan bekalan elektrik, susulan kejadian ribut yang melanda sepanjang malam, menurut data gangguan bekalan elektrik semasa.
Sementara itu, menurut maklumat di laman web lapangan terbang, syarikat penerbangan utama Australia, seperti Qantas Airways dan Virgin Australia, masing-masing membatalkan 55 penerbangan domestik keluar masuk di Lapangan Terbang Sydney.
Beberapa penerbangan antarabangsa turut mengalami kelewatan.
Keadaan dijangka berterusan sehingga petang Rabu, sebelum ia bergerak ke arah Laut Tasman dan menuju ke New Zealand pada Khamis.-REUTERS