SYDNEY, 2 Julai- Syarikat penerbangan Australia, Qantas, mengesahkan pangkalan data yang mengandungi maklumat peribadi jutaan pelanggannya digodam, sekali gus menjadikan insiden itu sebagai pencerobohan data terbesar di Australia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Qantas menerusi kenyataan menjelaskan serangan itu menyasarkan pusat khidmat pelanggan yang menggunakan platform pihak ketiga.
Sistem tersebut mengandungi enam juta rekod termasuk nama, alamat e-mel, nombor telefon, tarikh lahir dan nombor keahlian pelanggan.
Syarikat itu tidak mendedahkan lokasi pusat panggilan tersebut atau butiran pelanggan yang terlibat dalam pencerobohan data berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qantas, Vanessa Hudson, turut menyatakan permohonan maaf kepada pelanggan yang terkesan.
“Kami dengan tulus memohon maaf kepada pelanggan kami dan kami memahami ketidakpastian yang mungkin timbul susulan insiden ini,” katanya.
Tambahnya, pihak Qantas akan menghubungi pelanggan terlibat secara langsung dan mengambil tanggungjawab bagi menangani kesan pencerobohan data tersebut.- REUTERS