fb fb fb fb fb

AS henti sebahagian bantuan senjata ke Ukraine- White House

White House/ REUTERS

WASHINGTON, 2 Julai – White House mengumumkan Amerika Syarikat akan menghentikan penghantaran beberapa bantuan senjata utama yang sebelum ini dijanjikan kepada Ukraine di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden bagi menentang pencerobohan Rusia.

Keputusan itu dijangka memberi tamparan hebat kepada Ukraine, yang kini sedang berdepan dengan gelombang serangan peluru berpandu dan dron terbesar oleh Rusia, sejak konflik tiga tahun lalu.

“Keputusan ini dibuat demi mengutamakan kepentingan Amerika selepas semakan semula oleh Jabatan Pertahanan (DOD) terhadap bantuan ketenteraan AS kepada negara-negara di seluruh dunia,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar White House, Anna Kelly, kepada AFP melalui e-mel.

Pengurangan bantuan ketenteraan menandakan kemungkinan perubahan Presiden Donald Trump, yang kini menekankan kedua-dua pihak Rusia dan Ukraine agar mempercepat rundingan damai yang tertangguh.

Menurut laporan Politico, semakan DOD mendapati stok peluru berpandu dan senjata yang sebelum ini dijanjikan, kini berada pada paras terlalu rendah, menyebabkan beberapa penghantaran akan dihentikan sepenuhnya.

"Kekuatan Angkatan Bersenjata Amerika Syarikat tidak boleh dipertikai, tanyalah kepada Iran," kata Kelly, yang merujuk kepada pengeboman dan serangan peluru berpandu AS baru-baru ini terhadap kemudahan nuklear republik Islam itu.

Terdahulu, dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Belanda minggu lalu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bertemu dengan Trump dan dilaporkan menerima maklum balas yang samar-samar mengenai permintaan Ukraine terhadap peluru berpandu dengan sistem pertahanan udara Patriot.

“Kita akan lihat sama ada kita boleh beri beberapa unit. Ianya sangat sukar untuk diperoleh,” kata Trump mengenai sistem pertahanan yang amat diperlukan Kiev.

Ketika diminta mengulas mengenai penghentian bantuan tersebut, Pentagon tidak memberikan jawapan langsung. Namun, jurucakap utamanya, Sean Parnell, berkata angkatan Tentera Amerika Syarikat tidak pernah berada pada tahap kesiapsiagaan dan keupayaan setinggi itu.

"Terima kasih kepada kepimpinan Presiden Trump dan Setiausaha (Pete) Hegseth", katanya.

ROSLINA BINTI DIN