WASHINGTON, 2 Julai – Berbaki seminggu lagi sebelum tarif tinggi Amerika Syarikat (AS) dikuatkuasakan, negara-negara utama termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun kini giat berunding bagi mengelak kenaikan yang boleh menjejaskan eksport dan dagangan.
Tarif yang bakal berkuat kuasa pada 9 Julai itu sebahagian daripada langkah dikenakan Trump sejak April lalu atas alasan kekurangan “timbal balas” dalam hubungan perdagangan.
Trump sebelum ini mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas kebanyakan rakan dagang, dan bercadang menaikkan kadar tarif secara tersuai bagi negara yang mempunyai defisit dagangan tinggi dengan Amerika Syarikat. Bagaimanapun, pelaksanaan tarif tersebut ditangguhkan sehingga Julai bagi memberi ruang kepada proses rundingan.
Tiga kemungkinan: Perjanjian, penangguhan atau tarif meningkat
Penganalisis meramalkan tiga kemungkinan akan berlaku kepada negara-negara terlibat:
Rundingan kerangka perjanjian
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata pada minggu lalu, beberapa perjanjian akan dimuktamadkan sebelum 9 Julai. Walaupun tiada senarai negara diumumkan, AS sedang fokus berbincang dengan kira-kira 18 rakan dagang utama.
Sementara itu, Naib Presiden Asia Society Policy Institute (ASPI), Wendy Cutler, berkata Vietnam, India dan Taiwan dilihat berpotensi mencapai perjanjian. Sekiranya tiada sebarang perjanjian, tarif Vietnam boleh meningkat kepada 46 peratus, India kepada 26 peratus dan Taiwan 32 peratus.
Penganalisis Josh Lipsky pula berkata rundingan India dilihat paling berpeluang memandangkan delegasi mereka melanjutkan lawatan ke AS. Jepun pula kemungkinan terkeluar daripada senarai selepas Trump mengkritik penolakan Jepun terhadap eksport beras AS.
Bagaimanapun, perjanjian yang bakal dicapai ini bukanlah perjanjian dagangan penuh kerana prosesnya rumit. Setakat ini, hanya Britain dan China yang berjaya mencapai perjanjian sementara dengan AS.
Penangguhan tarif lebih tinggi
Negara yang menunjukkan kesungguhan dalam rundingan mungkin dapat mengekalkan tarif pada kadar 10 peratus buat sementara waktu. Namun, menurut Bessent, keputusan akhir tetap bergantung kepada Trump.
Korea Selatan dilihat berpeluang mendapat penangguhan kerana kerajaan baharunya aktif berunding. Lipsky menjangka banyak negara akan mendapat penangguhan sehingga Hari Buruh AS, iaitu 1 September, sementara rundingan diteruskan.
Tarif dikenakan semula pada kadar tinggi
Menurut Bessent, bagi negara yang enggan berkompromi, tarif boleh meningkat semula pada kadar tinggi antara 11 hingga 50 peratus.
Cutler memberi amaran, keengganan Jepun membuka pasaran berasnya dan AS pula enggan menurunkan tarif kereta, boleh menyebabkan Jepun dikenakan tarif balas setinggi 24 peratus.
Trump turut memberi bayangan, bahawa Jepun mungkin dikenakan tarif 30 hingga 35 peratus, atau lebih.
Kesatuan Eropah (EU) juga berisiko dikenakan tarif antara 20 hingga 50 peratus, jika isu berkaitan peraturan digital mereka terus menjadi pertikaian.
Trump juga baru-baru ini mengumumkan hasratnya untuk menamatkan rundingan perdagangan dengan Kanada.
Ini susulan pelaksanaan cukai perkhidmatan digital, walaupun Kanada bukan antara negara yang terlibat dalam pusingan tarif pada 9 Julai. Ottawa kemudian memutuskan untuk menarik balik cukai tersebut.
Minggu ini, Ketua Perdagangan EU, Maros Sefcovic berada di Washington bagi mempercepatkan rundingan perjanjian. - AFP