MELBOURNE, 2 September- Seorang wanita maut, manakala sekolah ditutup dengan bekalan eletrik ribuan penduduk terputus akibat ribut kencang melanda Australia.
Polis menyatakan seorang wanita berusia 63 tahun maut selepas sebatang pokok tumbang di atas kabin terletak di tenggara negara itu.
Angin kencang dengan kelajuan lebih 110 kilometer sejam sedang melanda wilayah itu, di mana kira-kira 150,000 orang terputus bekalan elektrik.
Ketua wilayah Victoria, Jacinta Allan, memberi amaran bahawa ia mungkin akan mengambil masa sehingga tiga hari untuk menyambung semula bekalan elektrik.
"Terdapat beberapa kawasan di mana keadaannya masih tidak selamat untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan," katanya.
Pihak berkuasa di New South Wales bimbang tentang angin kencang itu, yang boleh meningkatkan risiko kebakaran dengan banyak kawasan sudah diberi amaran mengenainya.
Penguasa Bomba Luar Bandar New South Wales, Ben Shepherd, memberi amaran bahawa Sydney dan kawasan berhampiran akan menyaksikan kebakaran paling teruk, namun keadaan akan bertambah baik pada sebelah petang.
Sebahagian kawasan Tasmania dilanda banjir dan angin kencang, dengan kelajuan 150 kilometer sejam pada hujung minggu.
Peramal kanan Biro Meteorologi, Christie Johnson pula berkata bahawa kejadian angin sejuk yang melanda tenggara Australia menyebabkan "angin yang berbahaya" namun, keadaan dijangka bertambah baik menjelang esok.
Johnson memberi amaran bahawa angin sejuk itu akan memberi kesan kepada negara tersebut lewat minggu ini, meskipun ia tidak begitu teruk.- AFP