fb fb fb fb fb

Ribut Yagi: Empat terkorban termasuk bayi di Filipina

Pejalan kaki memegang payung di tengah hujan lebat akibat Ribut Tropika Yagi di Manila hari ini/AFP

MANILA, 2 September- Ribut tropika melanda Filipina buat hari kedua berturut-turut sejak semalam telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh, dengan sekurang-kurangnya empat orang terkorban, termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan, menurut pegawai tempatan.

Bandar Naga di timur antara paling teruk terjejas apabila Ribut Tropika Yagi melanda pantainya pada malam Ahad, mengorbankan dua nyawa termasuk bayi yang mati lemas akibat banjir, kata pasukan penyelamat.

"Banjir di beberapa kawasan melebihi paras kepala," kata Joshua Tuazon dari pejabat keselamatan awam bandar itu sambil menambah ratusan penduduk telah diselamatkan.

Lebih 300 orang berada di pusat pemindahan dengan pihak berkuasa tempatan menyatakan banjir di bandar berpenduduk 210,000 itu lambat surut disebabkan air pasang.

Sementara itu dua kejadian tanah runtuh telah meragut dua nyawa dan merosakkan lima buah rumah di bandar Cebu di tengah Filipina semalam.

"Yagi bergerak ke utara di pesisir pulau utama Luzon hari ini dengan kelajuan angin 75 kilometer sejam," menurut perkhidmatan cuaca negara.

Ia dijangka mendarat di wilayah utara Isabela lewat hari ini dengan empat pekan dan kira-kira 33,000 penduduk berada dalam laluannya.

Pegawai tempatan telah dimaklumkan untuk bersiap sedia memindahkan penduduk di kawasan berisiko banjir, kata ketua bencana wilayah, Constante Foronda.

Perkhidmatan cuaca turut memberi amaran tentang risiko ombak besar yang boleh mengancam komuniti pesisir pantai apabila ribut itu melanda daratan.

Sekolah dan pejabat kerajaan di seluruh Manila juga ditutup sebagai langkah berjaga-jaga manakala perkhidmatan feri di kawasan terjejas digantung dan 29 penerbangan domestik dibatalkan akibat cuaca buruk.

Sekitar 20 ribut besar dan taufan melanda Filipina atau perairannya setiap tahun menyebabkan kerosakan kepada kediaman dan infrastruktur serta mengorbankan puluhan nyawa. -AFP

SITI AISHAH MD ISA