WASHINGTON, 18 Mei – Ribut kuat yang melanda negeri Missouri dan Kentucky pada malam Jumaat telah mengorbankan sekurang-kurangnya 21 nyawa.
Gabenor Kentucky, Andy Beshear dalam satu hantaran di platform X memaklumkan lebih 100,000 penduduk terputus bekalan elektrik yang menyebabkan pihaknya mengisytiharkan darurat di lima daerah.
Sementara itu di Missouri, lebih 80,000 penduduk dipindahkan ke tiga pusat perlindungan selepas kebanyakan rumah dan kediaman mereka ranap dilanda ribut.
Datuk Bandar St. Louis, Cara Spencer menyifatkan bencana yang berlaku sebagai antara yang terburuk pernah melanda bandar itu.
“Suasana ketika ini sangat kritikal. Kemusnahannya yang berlaku amat memilukan,” katanya.
Amerika Syarikat merekodkan hampir 1,800 kejadian puting beliung sepanjang tahun 2024, menjadikan tahun ini sebagai kedua tertinggi dalam sejarah. - AFP