fb fb fb fb fb

Ribuan sertai protes 'No Kings' di seluruh AS, bantah dasar pentadbiran Trump

Ribuan individu menyertai protes 'No Kings' sekitar bandar New York/ REUTERS

NEW YORK, 15 Jun- Ribuan individu berhimpun sekitar bandar New York menyertai protes 'No Kings' – antara lebih 2,000 demonstrasi yang diadakan di seluruh Amerika Syarikat (AS) – untuk membantah dasar-dasar pentadbiran Presiden Donald Trump.

Menurut laporan The Wall Street Journal, demonstrasi tersebut merupakan satu bentuk penentangan secara aman terhadap pentadbiran Trump.

Protes berkenaan berlangsung serentak dengan perarakan tentera di Washington DC sempena ulang tahun ke-250 penubuhan Tentera Darat Amerika Syarikat. Ia juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun kelahiran ke-79 Donald Trump.

Tom Friedman yang menyertai protes itu meluahkan perhimpunan berkenaan dianggap sebagai suara rakyat Amerika Syarikat terhadap pentadbiran Trump.

"Kerajaan yang hilang kawalan, ancaman fasisme, pelanggaran undang-undang yang berleluasa. Segalanya berlaku begitu pantas. Rakyat amnya berasa kecewa dan cuba bersuara bagi pihak mereka yang tidak mampu bersuara ketika ini," kata salah seorang penunjuk perasaan, Tom Friedman.

Sementara itu, Kathleen McPherson pula menegaskan bahawa Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang diasaskan atas prinsip imigresen, dan kepelbagaian merupakan kekuatan utamanya.

McPherson mengecam tindakan pentadbiran Trump yang menggunakan Angkatan Marin AS untuk menyuraikan protes terhadap serbuan imigresen di Los Angeles.

"Kita adalah sebuah negara yang dibina atas asas imigresen. Setiap orang mempunyai latar belakang berbeza dan itulah yang mencantikkan negara ini.

"Kepelbagaian adalah antara kelebihan paling besar dalam perniagaan dan pemikiran. Apa yang akan menyatukan kita adalah hakikat bahawa kita semua manusia dan kita semua menginginkan kebahagiaan serta peluang untuk mencapainya," kata McPherson.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Jerome Adams turut melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan Amerika Syarikat di peringkat global.

"Saya amat bimbang. Antara kebimbangan terbesar saya adalah kedudukan negara kita di mata dunia yang kian merosot.

"Namun paling utama, saya bimbang dengan layanan terhadap individu yang datang ke negara ini demi kehidupan yang lebih baik – yang sebenarnya menjadi asas kepada pembentukan negara ini," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI