KHAN YOUNIS, 15 Jun- Penduduk Palestin di Khan Younis meratapi kehilangan ahli keluarga yang terkorban akibat tembakan Israel berhampiran pusat agihan bantuan pada Ahad.
Dalam suasana penuh hiba, ahli keluarga dilihat menangis di sisi jenazah mangsa yang didakwa terbunuh berhampiran kawasan agihan bantuan di Rafah.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, serangan udara dan tembakan tentera Israel itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin di seluruh Gaza pada hari tersebut.
Ia termasuk sekurang-kurangnya lima mangsa berhampiran dua pusat bantuan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Petugas kesihatan di Hospital Al-Awda di tengah Gaza memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan puluhan lagi cedera akibat tembakan ketika cuba menghampiri salah satu pusat GHF berdekatan koridor Netzarim.
Dua lagi maut ketika dalam perjalanan menuju ke pusat bantuan lain di Rafah, selatan Gaza.
Sementara itu, satu serangan udara dilaporkan mengorbankan tujuh individu di bandar Beit Lahiya, utara Gaza.
Dalam kejadian berasingan, sebuah kereta dilaporkan terbakar di Khan Younis susulan satu lagi serangan Israel yang berlaku pada waktu subuh.
GHF memulakan pengagihan pek makanan di Gaza sejak akhir Mei lalu selepas Israel menarik balik sekatan penuh yang dilaksanakan selama hampir tiga bulan.
Bagaimanapun, puluhan rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan beramai-ramai dilakukan Israel ketika cuba mendapatkan bekalan makanan.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menolak sistem pengagihan bantuan baharu itu dengan alasan ia tidak mencukupi, berbahaya, dan tidak berperikemanusiaan.- REUTERS