LOS ANGELES, 3 Ogos - Ribuan penunjuk perasaan berarak ke dewan bandar Los Angeles pada Sabtu dalam siri protes besar-besaran bertema “Rage Against the Regime” yang dianjurkan di beberapa bandar seluruh Amerika Syarikat.
Protes yang digerakkan oleh pergerakan anti-Trump, 50501, bertujuan menyatakan bantahan terhadap dasar Presiden Donald Trump berkaitan imigresen, pengusiran besar-besaran dan pengurangan peruntukan persekutuan.
Gerakan 50501, yang merujuk kepada 50 protes di 50 negeri dengan satu matlamat bersama, telah menganjurkan beberapa siri tindakan sejak Trump mengambil alih pentadbiran. Antara kempen yang pernah dianjurkan termasuk slogan “Hands Off” dan “No Kings”. Pada Sabtu, kira-kira 350 bandar di seluruh Amerika Syarikat turut mengadakan protes serentak.
Seorang penunjuk perasaan, Maria, berkata, “Saya rasa penting untuk terus menentang kerana jika tidak, rejim akan menang. Tujuan kami adalah memastikan demokrasi terus hidup dan kami menolak perkauman.”
Seorang lagi pemimpin protes pula menyeru peserta untuk memujuk orang ramai yang menyokong Trump supaya menilai semula pandangan mereka:
“Ini memang sukar, tetapi anda perlu bercakap dengan ahli keluarga, dengan sesiapa yang kata ‘Trump ada betul juga’. Tidak, dia tidak betul dan kita perlu jelas tentang hal ini,” katanya. -REUTERS