fb fb fb fb fb

Ribuan rakyat Palestin berdepan ancaman kelaparan akut, malnutrisi- WFP

Foto AFP

ROM, 28 Mac- Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa ribuan rakyat Palestin di Gaza berdepan ancaman baharu kelaparan akut dan malnutrisi disebabkan bekalan makanan yang semakin berkurangan.

Ia berikutan penutupan sempadan oleh Israel bagi bantuan kemanusiaan.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), menurut WFP, peningkatan serangan Israel di Gaza menghalang operasi bantuan makanan dengan teruk dan membahayakan nyawa pekerja kemanusiaan di kawasan tersebut.

"Semakin sengitnya perang, sekatan berterusan telah memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah sedia parah," menurut kenyataan itu.

WFP turut mengesahkan bahawa dalam masa tiga minggu, pihaknya tidak dapat menghantar penghantaran makanan baharu ke Gaza.

Sehingga hari ini, WFP masih mempunyai kira-kira 5,700 tan stok makanan di Gaza, bagi menyokong operasi selama hanya dua minggu.

Bagaimanapun, organisasi itu telah menyimpan lebih 85,000 tan makanan di luar Gaza, yang sedia untuk dihantar sebaik sahaja sempadan dibuka semula.

"WFP memerlukan 30,000 tan makanan setiap bulan untuk memenuhi keperluan asas kira-kira 1.1 juta orang di Gaza.

"Harga makanan yang semakin meningkat telah menambah lagi krisis ini, dengan harga sekampit tepung gandum 25 kilogram melambung kepada AS$50, peningkatan 400 peratus berbanding harga sebelum 18 Mac.

"Selain itu, harga gas memasak telah meningkat 300 peratus berbanding Februari," menurut kenyataan itu.

WFP menggesa semua pihak untuk mengutamakan keperluan orang awam, memastikan keselamatan pekerja kemanusiaan dan kakitangan PBB, serta membenarkan kemasukan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Agensi itu juga menekankan keperluan mendesak untuk mendapatkan pembiayaan sebanyak AS$265 juta dalam tempoh enam bulan akan datang bagi menyokong operasi penyelamatan nyawa untuk 1.5 juta orang di Gaza dan Tebing Barat.

Sejak 2 Mac 2025, Israel telah menutup laluan sempadan ke Gaza, menghalang kemasukan bekalan kemanusiaan, perubatan, dan makanan yang penting.

Keadaan itu telah menyebabkan kemerosotan yang belum pernah berlaku dalam situasi kemanusiaan di wilayah tersebut.

Terdahulu, Mahkamah Agung Israel menolak petisyen yang meminta penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang semakin memburukkan lagi keadaan yang telah kritikal.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM