TEGUCIGALPA, 15 September- Beribu-ribu rakyat Honduras turun ke jalanan pada Sabtu lalu untuk menyatakan sokongan mereka kepada Presiden Xiomara Castro, selepas sebuah video yang didakwa menunjukkan abang iparnya bertemu pengedar dadah tersebar.
"Xiomara tidak bersendirian!" laungan penyokong di hadapan istana presiden.
Video tersebut, yang didakwa menunjukkan abang iparnya, Carlos Zelaya, meminta dana daripada pengedar dadah untuk kempen Castro pada 2013, muncul beberapa hari selepas Castro mengumumkan tamatnya perjanjian ekstradisi dengan Amerika Syarikat.
Dalam pengumuman mengejut pada 28 Ogos, Castro berkata beliau bimbang perjanjian itu akan digunakan untuk melancarkan "rampasan kuasa."
Beliau mengulangi dakwaan tersebut dalam ucapan kepada penyokong yang datang dari seluruh negara dengan menaiki bas ke ibu kota.
Dikawal suaminya, Manuel Zelaya, dan ahli kabinet, Castro berkata: "Saya tidak akan benarkan mereka melancarkan rampasan kuasa baharu."
Zelaya, bekas presiden, digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2009 yang disokong oleh golongan elit perniagaan dan politik kanan.
Pihak pembangkang menuduh Castro menamatkan perjanjian ekstradisi dan mencipta konspirasi untuk melindungi ahli kerajaan dan keluarganya.
Carlos Zelaya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen selepas video itu tersebar. Tidak lama selepas itu, anak saudara Castro, Jose Manuel Zelaya, meletakkan jawatan sebagai menteri pertahanan.
Minggu lalu, ribuan orang menghadiri perhimpunan membawa obor di Tegucigalpa bagi membantah penamatan perjanjian ekstradisi, di mana 50 warga Honduras yang dituduh mengedar dadah telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk diadili sepanjang dekad lalu.
Antaranya termasuk bekas presiden Juan Orlando Hernandez, yang dijatuhi hukuman 45 tahun penjara di New York pada Jun.-AFP