fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di Mexico ragut nyawa bayi tiga bulan

FOTO AFP

MEXICO CITY, 15 September- Tanah runtuh akibat hujan lebat di tengah Mexico telah meragut nyawa seorang bayi dan mengakibatkan beberapa orang terperangkap di bawah runtuhan rumah yang musnah, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.

Sebahagian lereng bukit turut runtuh di perbandaran Jilotzingo berhampiran ibu negara, menurut perkhidmatan perlindungan awam di Negeri Mexico.

"Tanah runtuh telah menghayutkan lapan rumah, menyebabkan 12 orang terperangkap di bawah runtuhan dan malangnya, seorang bayi berusia tiga bulan jadi korban," menurut kenyataan pihak berkuasa di platform media sosial X.

Perkhidmatan kecemasan yang dibantu oleh anjing pengesan berjaya mengeluarkan tiga individu yang kemudian dibawa ke hospital, sambil menambah usaha mencari mangsa yang lain masih diteruskan.

Imej televisyen menunjukkan penyelamat menggali lumpur menggunakan penyodok.

Penduduk, termasuk yang membawa anak kecil, dilihat meninggalkan kawasan itu dengan membawa apa sahaja barang yang boleh dibawa.

Seorang lelaki memberitahu Foro TV bahawa air mengalir menuruni bukit "seperti air terjun" ketika kejadian.

Seorang lagi berkata dia mendengar "bunyi gegaran, seperti sesuatu sedang patah," sambil menambah ketika itu hujan lebat dan kilat sabung-menyabung.

"Saya sangat takut," tambahnya.

Tanah runtuh adalah perkara biasa di Mexico, yang sering dilanda bencana alam seperti gempa bumi dan taufan.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE