PORT-AU-PRINCE, 15 September- Enam belas orang terbunuh di barat daya Haiti pada hari Sabtu dan sekitar 40 orang cedera apabila sebuah lori tangki meletup, kata Fidel Nicolas, ketua Agensi Perlindungan Awam di wilayah Nippes.
Letupan itu berlaku ketika mangsa cuba megambil bahan api yang bocor dari trak tersebut.
Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sainte Therese di bandar pelabuhan Miragoane, kira-kira 100 kilometer (60 batu) dari ibu kota Port-au-Prince.
Perdana Menteri interim, Garry Conille telah memanggil mesyuarat kecemasan kerajaan untuk menangani tragedi itu.
Sebanyak 19 mangsa yang mengalami lecur serius akan dipindahkan ke hospital khusus di Port-au-Prince, berkat penerbangan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kesihatan Awam dan kumpulan bantuan Doktor Tanpa Sempadan (MSF).
Haiti telah dilanda ketidakstabilan selama bertahun-tahun dan ibu kotanya hampir dikuasai oleh geng-geng jenayah.
Diplomat tertinggi AS, Anthony Blinken, membuat lawatan pada 5 September lalu, di mana beliau menjanjikan bantuan AS$45 juta dan menekankan keperluan untuk pilihan raya, yang belum diadakan di Haiti sejak 2016.
Blinken juga menyuarakan kebimbangan tentang masa depan jangka panjang pasukan polis diketuai Kenya, yang tiba dua bulan lalu dan ditugaskan untuk menstabilkan Port-au-Prince dan kawasan sekitarnya.-AFP