fb fb fb fb fb

Ribuan rakyat Argentina berhimpun bantah rancangan penjimatan ekonomi

Ribuan rakyat Argentina berhimpun di Plaza de Mayo bantah rancangan penjimatan ekonomi oleh Milei/FOTO AFP

BUENOS AIRES, 21 Disember- Bantahan terhadap langkah penjimatan dan penyahkawalseliaan yang diumumkan oleh Presiden baru dipilih Javier Milei berlangsung secara aman di sini pada Rabu.

Para penunjuk perasaan gerakan berhaluan kiri Polo Obrero dan Pergerakan Pekerja Sosialis berarak menuju ke Plaza de Mayo berhadapan Istana Presiden Casa Rosada dengan membawa sepanduk dan bendera.

Pihak polis dan tentera berkawal di sepanjang laluan menuju ke pusat bandar, sesuatu yang dianggap oleh panganjur protes sebagai cubaan bagi memprovokasi.

"Ini mengingatkan kami kepada tahun-tahun diktator pada 1976 hingga 1983", kata Eduardo Belliboni, Ketua Polo Obrero.

Kerajaan Presiden baharu Argentina, Javier Milei menghadapi ujian pertama berhadapan dengan para penunjuk perasaan yang menentang langkah ekonomi yang diperkenalkan Milei bagi menangani krisis ekonomi yang di hadapi negara Amerika Selatan.

Langkah itu termasuk penurunan nilai 50% matawang peso Argentina, pemotongan subsidi tenaga dan pengangkutan, serta penutupan beberapa kementerian kerajaan.

Milei turut dijangka mengumumkan langkah tambahan, termasuk penyahkawalseliaan pasaran buruh.

Argentina antara salah sebuah negara yang mempunyai kadar inflasi tertinggi di dunia, pada 161 peratus dari tahun ke tahun, dan 40 peratus rakyatnya berada dalam kemiskinan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD