fb fb fb fb fb

Ancaman Taufan Wutip, ribuan penduduk Hainan diarah pindah

Taufan Wutip mula membadai selatan Hainan, China./ AFP

BEIJING, 14 Jun - Ribuan penduduk di pulau selatan Hainan diarah berpindah susulan ancaman Taufan Wutip di wilayah itu.

Arahan melibatkan lebih 16,000 penduduk di beberapa lokasi rendah yang berisiko dilanda banjir kilat akibat taufan berkenaan.

Pihak berkuasa China di wilayah itu turut menutup sekolah dan menggantung perkhidmatan kereta api.

Media tempatan melaporkan, Taufan Wutip yang membawa hujan lebat melebihi 100 milimeter dan angin kencang itu djangka membadai enam bandar di wilayah tersebut.

Menurut Pentadbiran Meteorologi China (CMA), Wutip adalah taufan pertama yang melanda China tahun ini, terbentuk di Laut China Selatan pada Rabu lalu.

Taufan itu diramal membadai sepanjang pantai barat Guangdong hingga ke Guangxi sebelum bergerak ke arah timur laut dan mereda.

Susulan itu, Wilayah Guangdong telah menaikkan tahap respons kecemasan dan menyediakan kapal penyelamat dan lebih 30 bot tunda.

Lebih 49,000 bot nelayan dan 10,000 kru juga telah kembali ke pelabuhan.

China telah mengalami rentetan cuaca ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti cuaca panas, hujan lebat dan banjir. - AFP

KHAIRUL AMRI BIN YASIN