GOMA, 14 Jun – Ketua misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Demokratik Congo (DRC), Bintou Keita, telah melakukan lawatan pertama beliau ke bandar strategik Goma sejak ia dikuasai oleh militan M23 yang disokong Rwanda, menurut kenyataan Misi Pengaman PBB (MONUSCO).
Keita, yang juga Wakil Khas Setiausaha Agung PBB, dijadualkan bertemu wakil kumpulan bersenjata M23 dan pakatan AFC yang dianggotainya, dalam lawatan selama tiga hari itu.
Perbincangan akan memfokuskan kepada keutamaan mandat MONUSCO, khususnya perlindungan orang awam, tambah kenyataan tersebut.
"Saya datang untuk mendengar dan menyatakan solidariti saya kepada rakyat Goma serta kakitangan MONUSCO. Ketabahan anda amat mengagumkan," kata Keita.
Lawatan Keita ke Goma ini dilakukan menjelang taklimat beliau kepada Majlis Keselamatan PBB pada 27 Jun.
Kumpulan M23, yang anti-kerajaan, telah melancarkan serangan mengejut pada awal tahun ini, menguasai Goma pada penghujung Januari diikuti oleh Bukavu, dan seterusnya menubuhkan struktur pentadbiran di wilayah-wilayah yang ditakluki mereka.
Misi pengaman PBB di DRC telah bermula sejak tahun 1999, dan pada tahun lalu, pasukan tersebut telah menarik diri dari wilayah timur wilayah South Kivu, sebagai langkah awal dalam rancangan pengunduran sepenuhnya dari negara itu.
Penaklukan Goma dan Bukavu pada Januari lalu telah memburukkan lagi hubungan diplomatik antara DRC dan Rwanda.
Pada Ahad lalu, Rwanda menarik diri daripada Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Tengah (CEEAC) sebagai bantahan terhadap apa yang dianggap oleh Kigali sebagai “penyimpangan” organisasi itu ke arah menyebelahi DRC.
Minggu lalu, wakil pengantara dari Qatar telah membentangkan cadangan pelan damai kepada kerajaan DRC dan M23 hasil rundingan yang berlangsung di Qatar.
Sebagai sebahagian daripada proses yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, Rwanda menyatakan bahawa perjanjian damai muktamad untuk menamatkan krisis dengan DRC akan dimeterai pada pertengahan Jun di Washington. - AFP