fb fb fb fb fb

Kemboja akan kemukakan aduan kepada Mahkamah PBB berkaitan isu pertikaian sempadan dengan Thailand

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet / Foto REUTERS

PHNOM PENH, 14 Jun - Kemboja akan memfailkan aduan pada Ahad kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berhubung empat kawasan sempadan yang dipertikai dengan Thailand, kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet pada malam Jumaat, lapor Xinhua.

Beliau berkata, empat kawasan sempadan sensitif itu ialah Mom Bei, Kuil Ta Moan Thom, Kuil Ta Moan Tauch, dan Kuil Ta Krabei.

Mom Bei, atau dikenali sebagai Segitiga Zamrud, merupakan kawasan yang berkongsi sempadan antara Kemboja, Thailand dan Laos.

Hun Manet membuat kenyataan tersebut menjelang mesyuarat Suruhanjaya Sempadan Bersama Kemboja-Thailand (JBC) yang akan berlangsung pada hari Sabtu di Phnom Penh.

Sama ada Thailand bersetuju untuk bersama-sama Kemboja membawa kes ini ke ICJ atau tidak, Kemboja akan tetap memfailkan aduan secara bersendirian, katanya.

“Saya ingin menegaskan semula kepada rakyat saya bahawa walaupun pihak Thailand menolak atau berdiam diri, Kemboja akan meneruskan secara unilateral,” kata Hun Manet.

“Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa akan menghantar surat rasmi kepada ICJ pada hari Ahad, 15 Jun 2025, berkenaan pertikaian di keempat-empat kawasan ini.”

Aduan yang dirancang ini dibuat susulan insiden tembak-menembak singkat antara tentera kedua-dua negara di kawasan Segitiga Zamrud pada 28 Mei, yang mengakibatkan kematian seorang anggota tentera Kemboja. - BERNAMA-XINHUA

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE