fb fb fb fb fb

Pakistan: "Militarisme Sepihak" Israel Ancam Orde Dunia

Foto AFP

NEW DELHI, 14 Jun - Pakistan mengecam serangan Israel ke atas Iran sebagai tindakan “militarisme sepihak” yang mengancam untuk menggugat orde dunia dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menolak kekebalan yang dinikmati Israel walaupun bertindak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB susulan serangan Israel ke atas Iran, Wakil Tetap Pakistan ke PBB, Asim Iftikhar Ahmad menyatakan solidariti negaranya terhadap Iran.

Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa, statut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan beberapa resolusi IAEA dengan menyerang kemudahan di Iran yang berada di bawah perlindungan IAEA, kata utusan itu kepada majlis yang ketika ini turut dianggotai Pakistan selaku satu daripada 10 ahli tidak tetap.

“Serangan ini mencerminkan corak berbahaya kelakuan tidak bertanggungjawab Israel, termasuk operasi ketenteraan yang berterusan di Gaza serta siri serangan rentas sempadan berulang di Syria, Lubnan dan Yaman yang menunjukkan pengabaian secara konsisten dan sengaja terhadap norma antarabangsa,” kata Asim.

“Tindakan Israel di Timur Tengah mencerminkan corak militarisme sepihak yang berterusan,” katanya lagi.

Pakistan menegaskan bahawa pelanggaran kedaulatan yang berulang oleh Israel melemahkan kewibawaan PBB dan orde antarabangsa.

“Majlis ini mesti menafikan kebebasan mutlak dan kekebalan yang dinikmati Israel yang membolehkan ia terus melanggar undang-undang dan pendirian antarabangsa. Adalah menjadi tanggungjawab kolektif kita untuk menolak sebarang tanggapan, oleh sesiapa sahaja dan di mana-mana, yang cuba memutarbelitkan, menyalahgunakan atau memperalat hak mempertahankan diri secara bertentangan dengan melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB,” kata Asim.

Kenyataan itu turut menzahirkan solidariti dengan Iran.

“Pakistan berdiri teguh menyatakan solidariti bersama rakyat Iran yang kami anggap saudara. Kami merakamkan ucapan takziah dan simpati atas kehilangan nyawa dan kemusnahan akibat serangan kejam ini,” katanya. - BERNAMA

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE