fb fb fb fb fb

Ribut Tropika Jelawat : Ribuan orang berlindung ketika ribut melanda selatan Filipina

Ribut dengan angin berkelajuan sederhana 65 kilometer (40 batu) sejam, mendarat pada pagi Isnin di selatan Mindanao / Foto Fail

MANILA, 18 Disember - Beribu-ribu orang di Filipina berlindung di pusat pemindahan pada Isnin ketika Ribut Tropika Jelawat melanda pulau besar di selatan Mindanao sekali gus mengancam akan mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.

Ribut dengan angin berkelajuan sederhana 65 kilometer (40 batu) sejam, mendarat pada pagi Isnin, kata perkhidmatan cuaca negeri.

Agensi penyelamat di wilayah itu berkata setakat ini tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan namun, 11,729 penduduk telah dipindahkan dari pantai timur dan utara Mindanao sebelum pendaratan sebagai langkah berjaga-jaga.

Ribut Tropika Jelawat diramal akan melanda barat laut merentasi selatan sepanjang hari, dengan perkhidmatan cuaca memberi amaran hujan lebat terutamanya di kawasan pedalaman pergunungan.

"Dalam keadaan ini, banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan berkemungkinan akan berlaku terutamanya di kawasan yang sangat terdedah kepada bahaya ini," kata buletin ribut.

Peramal cuaca, Veronica Torres menambah "ada kemungkinan besar" ribut itu akan menjadi lekukan tropika pada siang hari ketika ia melintasi daratan.

Sektor Perkapalan dijangka akan terganggu di atau berhampiran laluan yang diunjurkan ribut, dengan 89 kapal dan hampir 1,000 orang terkandas di pelabuhan di mana pelayaran dilarang menjelang ribut, kata pengawal pantai.

Kira-kira 20 ribut dan taufan telah melanda negara atau perairan sekitarnya setiap tahun.

Bagaimanapun, Ribut Tropika Jelawat hanya yang ke-11 pada tahun ini, menyamai rekod terendah yang dicatatkan pada 1998 mengikut data perkhidmatan cuaca.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN