fb fb fb fb fb

Ribuan guru di Portugal turun protes, tuntut kenaikan gaji dan kebajikan terjaga

FOTO AFP

LISBON, 12 Februari- Ribuan guru dari seluruh Portugal berarak melalui jalan-jalan utama di ibu negara, Lisbon menunjukkan tanda protes terhadap tuntutan gaji lebih tinggi dan suasana kerja yang lebih baik.

Menurut Persekutuan Perguruan Kebangsaan (FENPROF), lebih 150,000 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu.

"Ini mungkin demonstrasi terbesar warga pendidik di Portugal," kata Setiausaha Agung FENPROF, Mario Nogueira.

Kumpulan guru-guru yang berhimpun meluahkan rasa tidak puas hati kerana beban kerja yang ditanggung tidak setimpal dengan bayaran gaji.

"Kami sangat marah," kata Augusto Figueiredo, seorang guru teknologi dari Rio Maior, kira-kira 100 kilometer di utara Lisbon, kepada AFP.

"Gaji yang menyedihkan. Penilaian yang diskriminasi. Jadual yang tidak berperikemanusiaan. Ini adalah realiti profesion perguruan kita hari ini," tambah lelaki berusia 64 tahun itu.

"Kami benar-benar letih. Tiada siapa yang mendengar kami. Kerajaan ini perlu mendengar kami," Joao Tristao, seorang guru sukan, memberitahu AFPTV.

Kumpulan guru terlibat turut meminta penambahbaikan daripada segi perjawatan, kemajuan kerjaya dan gaji seiring dengan situasi inflasi dunia.

Mereka juga mahu waktu bekerja sebenar mereka diambil kira.


(FOTO AFP)

"Masa bekerja ini mesti diiktiraf," kata Maria da Luz Ribeiro, seorang guru bahasa Inggeris yang bimbang tentang masa depan guru dan sekolah di Portugal.

“Saya terpaksa bekerja lebih lama untuk cuba menambah baik pencen saya,” kata lelaki berusia 68 tahun itu, yang berhenti bekerja tahun lalu.

Demonstrasi yang berlaku rentetan daripada beberapa siri bantahan dan mogok mengikut wilayah yang telah menyebabkan penutupan sekolah.

Kementerian Pendidikan dilaporkan akan bertemu kesatuan sekerja untuk pusingan baharu rundingan pada minggu depan.-AFP

Media Baharu