fb fb fb fb fb

Jumlah kematian gempa Turkiye-Syria dijangka meningkat lebih 50,000 - PBB

FOTO AFP

KAHRAMANMARAS, 12 Februari- Jumlah kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria dijangka akan meningkat daripada paras semasa iaitu 28,000.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths.

"Saya fikir sukar untuk menganggarkan dengan tepat kerana kita perlu berada di bawah runtuhan tetapi saya pasti ia akan berganda atau lebih.

"Kami belum benar-benar mula mengira jumlah kematian," kata Martin kepada Sky News.

Pegawai dan pegawai perubatan berkata 24,617 orang terbunuh di Turkiye dan 3,574 di Syria sekali gus jumlah yang disahkan kini ialah 28,191.

Cuaca sejuk turut menambah kesengsaraan penduduk terjejas selain puluhan ribu penyelamat mula turun padang menyampaikan bantuan.

PBB memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 870,000 orang memerlukan bantuan makanan panas di seluruh Turkiye dan Syria serta lebih 5.3 juta orang mungkin telah kehilangan tempat tinggal di Syria sahaja.


(Ketua Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths/AFP)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melancarkan bantuan kilat pada Sabtu berjaya meraih AS$42.8 juta bagi membantu hampir 26 juta orang yang terjejas akibat gempa bumi itu.

Lebih 32,000 orang daripada organisasi keselamatan Turkiye sedang menjalankan misi mencari dan menyelamat dan turut dibantu 8,294 penyelamat antarabangsa.

"Tidak lama lagi, petugas mencari dan menyelamat akan memberi laluan kepada agensi kemanusiaan untuk menjaga bilangan luar biasa mereka yang terjejas untuk bulan-bulan berikutnya," kata Griffiths dalam video di Twitternya.-AFP

 

Media Baharu