fb fb fb fb fb

"Gempa bumi kali ini adalah paling kuat dalam sejarah" - Erdogan

FOTO AFP

DIYARBAKIR, 12 Februari- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendedahkan gempa bumi kuat yang melanda selatan negara itu adalah tiga kali lebih kuat berbanding gempa bumi pada 1999 di daerah Marmara.

Ia juga adalah bencana terbesar dalam sejarah Turkiye.

Jelas beliau, sekurang-kurangnya 21,043 orang terbunuh dan 80,097 lagi cedera sejak dua gempa bumi yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Turkiye melanda pada Isnin.

Gempa bumi tersebut menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Pemimpin Turkiye itu yang turut melihat sendiri misi mencari dan menyelamat di Diyarbakir, merakamkan penghargaan kepada semua negara yang menunjukkan solidariti dengan menghantar pasukan SAR.

Erdogan sebelum ini berikrar untuk membangunkan semula wilayah yang dilanda gempa bumi dalam rancangan setahunnya.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, 37 tan metrik peralatan perubatan untuk pembedahan kecemasan di Turkiye telah dihantar Khamis lepas manakala 35 tan metrik lagi tiba di Syria sehari selepas itu.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, bantuan tersebut dapat merawat kira-kira 220-ribu mangsa yang cedera di kedua-dua negara.

"Bantuan perkhidmatan kecemasan dan bekalan kecemasan telah dihantar. Kapal yang membawa bekalan bersama kami hanya satu dan kami akan menghantar lebih lagi selepas ini," kata Tedros kepada REUTERS.

Beliau turut akui situasi semasa di Turkiye sangat genting.

Kebanyakkan mangsa terselamat terpaksa bertahan dalam cuaca sejuk sekitar negatif 5 darjah celsius selain berdepan masalah mendapatkan bekalan makanan, air dan perubatan.-REUTERS


(Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan turun padang melawat kawasan
terjejas gempa di Diyarbakir, Turkiye/AFP)

Media Baharu