ATHENS, 16 Jun- Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Syntagma, pusat bandar Athens pada Ahad bagi mendesak pembukaan semula lintasan sempadan Rafah di Mesir serta membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza.
Penunjuk perasaan dilihat mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk mengecam kempen ketenteraan Israel di wilayah itu.
Seorang peserta demonstrasi, Kostas Toulgaridis, 60 tahun menegaskan bahawa Palestin adalah hak rakyatnya dan solidariti terhadap perang di Gaza adalah tanggungjawab semua masyarakat dunia.
"Ini adalah satu kewajipan asas untuk seluruh umat manusia untuk tidak memejamkan mata, untuk tidak berdiam diri. Kita mesti mempertahankan anak-anak Palestin dan seluruh rakyat Palestin agar mereka dapat memiliki tanah air yang bebas dan negara yang sememangnya menjadi hak mereka," kata Toulgaridis.
Nada sama turut disuarakan Norin Kiely, yang juga menyertai solidariti tersebut.
"Apa yang sedang berlaku di Palestin, terutamanya di Gaza dan juga Tebing Barat adalah satu pembunuhan beramai-ramai dan ia perlu dinyatakan seperti apa yang berlaku. Terlalu ramai orang awam yang tidak bersalah termasuk wanita dan kanak-kanak, dibunuh setiap hari. Kami tidak mahu hanya berdiam diri dan melihat ia terus berlaku. Jadi, kami turun berhimpun untuk membantah segala kekejaman ini. Mudah-mudahan, kita akan segera menyaksikan pembebasan Palestin," kata Kiely.
Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, lebih 55,000 rakyat Palestin terkorban, sebahagian besarnya terdiri daripada orang awam.
Serangan tersebut turut memusnahkan sebahagian besar kawasan padat penduduk itu yang didiami lebih dua juta penduduk, dengan majoritinya kini menjadi pelarian dan kadar kekurangan zat makanan dilaporkan semakin memburuk.- REUTERS