fb fb fb fb fb

Penunjuk perasaan berhimpun di Calgary ketika Sidang Kemuncak G7

Foto AFP

CALGARY, 16 Jun - Ratusan penunjuk perasaan berhimpun secara aman di pusat bandar Calgary ketika Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh negara (G7) berlangsung di Kananaskis.

Rata-rata senada mengkritik hasrat terbaharu Presiden Donald Trump yang mencadangkan Kanada menjadi negeri ke-51 Amerika Syarikat.

Seorang penunjuk perasaan, Diane Houston menggelarkan Trump sebagai sosiapat dengan idea yang tidak masuk akal.

“Trump hanya mahukan sumber dari Kanada. Dia tidak peduli dengan kami,” ujarnya.

Selain itu penunjuk perasaan turut memprotes kekejaman Israel di Gaza serta serangan terbaharu regim itu di Iran.

Menurut Emrys Peacock yang berketurunan orang asli dari Kanada, rejim haram yang menduduki tanah Palestin itu adalah pengacau sebenar pendamian sejagat.

“Sebagai seorang rakyat pribumi, saya tidak boleh berdiam diri apabila sebuah bangsa pribumi lain dibom, dibunuh dan dikepung, sebagaimana yang pernah kami alami pada zaman penjajahan British,” katanya.

Sebagaimana edisi-edisi sebelum ini, kawalan ketat dilaksanakan ke atas perhimpunan bersempena sidang G7, dengan para penunjuk perasaan dihadkan ke zon-zon tertentu yang jaraknya mencecah lebih 100 kilometer dari lokasi pertemuan para pemimpin dunia.

Meskipun tidak dibenarkan untuk berhimpun dekat dengan lokasi, para penunjuk perasaan tetap optimis bahawa luahan mereka akan didengari.

Ditambah dengan komitmen pihak berkuasa Kanada untuk menyalurkan mesej para penunjuk perasaan secara langsung ke Kananaskis, tempat berlangsungnya pertemuan para pemimpin dari tujuh negara industri utama dunia itu. - AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN