LIMA, 16 Jun- Satu gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda Peru pada Ahad, waktu tempatan.
Berdasarkan laporan Pusat Seismologi Kebangsaan, gempa itu berpusat kira-kira 30 kilometer (km) dari bandar pelabuhan Callao, yang terletak berdekatan dengan ibu negara Peru, Lima.
Bencana alam itu turut menyebabkan seorang terbunuh dan mengakibatkan berlakunya tanah runtuh.
Menurut pihak polis tempatan, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki apabila tembok runtuh menimpa kenderaannya.
Setakat ini lima orang dilaporkan mengalami kecederaan.
Sementara itu Presiden Peru, Dina Boluarte meminta orang ramai kekal tenang.
"Tiada amaran tsunami dikeluarkan akibat gempa," katanya.
Gempa bumi itu turut menyebabkan beberapa perlawanan utama bola sepak di Lima, ditangguhkan.
Untuk rekod, kira-kira 100 gempa bumi dapat dikesan di Peru setiap tahun.
Kejadian paling besar pernah dilaporkan di Peru pada 1970, ketika itu 67,000 orang terkorban akibat gempa yang menggegarkan wilayah utara Ancash. -AFP