MUKARDI, 15 Jun - Polis Nigeria melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan ribuan penunjuk perasaan susulan tragedi pembunuhan puluhan penduduk di perkampungan Yelewata, Benue.
Perhimpunan yang pada mulanya berlangsung secara aman tiba-tiba bertukar huru-hara selepas arahan bersurai oleh pihak berkuasa tidak diendahkan.
Jurucakap pejabat Gabenor Benue, Tersoo Kula dalam satu kenyataan memaklumkan, penunjuk perasaan telah diberikan tempoh bagi menyampaikan bantahan secara aman dan bersurai.
"Selepas tempoh yang diberikan tamat, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada penunjuk perasaan agar bersurai. Namun masih ada segelintir yang meneruskan protes dan membuat provokasi yang memaksa pihak berkuasa bertindak," katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang penunjuk perasaan Joseph Hir, tujuan protes bagi mendesak agar gabenor negeri mengambil tindakan tegas untuk menghentikan keganasan berterusan.
“Kami tidak mencetus kekacauan atau merosakkan harta benda. Kami hanya menuntut hak kami untuk protes secara aman, tetapi kini polis pula menembak gas pemedih mata ke arah kami,” katanya.
Dalam kejadian pembunuhan di perkampungan Yelewata, Jumaat lalu seramai 59 orang dilaporkan terbunuh.
Lokasi tersebut sering menjadi kawasan konflik akibat pertentangan fahaman, perebutan tanah serta sumber - AFP