fb fb fb fb fb

Rempuhan Itaewon: Syarikat telekomunikasi gesa jangan sebar rakaman video tragedi

(Orang ramai dilihat sedih dengan tragedi rempuhan maut di Itaewon/AFP)

SEOUL, 31 Oktober- Sebilangan individu di lokasi tragedi rempuhan maut ketika sambutan Halloween di Itaewon, semalam, didakwa lebih sibuk merakam kejadian yang berlaku menggunakan telefon bimbit masing-masing berbanding menghulurkan bantuan terdesak untuk menyelamatkan mangsa.

Demikian dakwaan ditulis dalam Twitter oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai jururawat serta mengaku turut memberi bantuan kecemasan CPR ke atas mangsa di lokasi insiden.

"Saya tidak dapat menahan air mata daripada menitis kerana tiada yang tampil membantu, sebaliknya meneruskan rakaman," dakwanya merujuk pada ketika beliau melakukan CPR berkenaan.

Susulan tragedi itu, media melaporkan syarikat telekomunikasi di Korea Selatan telah menggesa supaya pengguna mereka tidak menyebarkan rakaman kejadian berkenaan.


(Media melaporkan syarikat teknologi di Korea Selatan telah menggesa supaya pengguna
mereka tidak menyebarkan rakaman kejadian berkenaan/AFP)

Begitupun, terdapat ramai orang awam yang bertungkus lumus membantu usaha menyelamatkan mangsa bersama anggota pasukan kecemasan. Rakaman video tular melalui Twitter menunjukkan puluhan orang giat melakukan CPR ke atas mangsa bergelimpangan di atas jalan raya, selain ada yang bergegas mendukung mangsa yang kelihatan terkulai untuk diberikan bantuan segera.

"Saya sedang lalu di kawasan itu tetapi berhenti untuk memberikan bantuan CPR kerana ia adalah keadaan kecemasan," kata seorang bekas jururawat, Min Byung-yeon, kepada YTN. -AFP

Berita Berkaitan
Sekurang-kurangnya 153 maut, 103 cedera rempuhan Halloween di Itaewon
Rempuhan Itaewon: Terburuk dalam sejarah, Presiden janji siasatan penuh

Media Baharu