AMERIKA SYARIKAT, 6 September -Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun telah didakwa atas tuduhan membunuh kerana menembak mati empat orang di sebuah sekolah tinggi di Amerika Syarikat.
Remaja tersebut menghadapi empat pertuduhan membunuh selepas didakwa membunuh dua rakan pelajar yang juga berusia 14 tahun serta dua orang guru di Sekolah Tinggi Apalachee di negeri selatan Georgia pada Rabu.
Menurut sumber, CNN melaporkan bahawa senjata yang digunakan dalam kejadian itu senapang jenis AR-15 yang mana telah dibeli oleh bapa suspek sebagai hadiah percutian untuk remaja tersebut.
Biro Penyiasatan Georgia (GBI) menyatakan bahawa suspek akan didakwa sebagai orang dewasa dan akan dibicarakan di mahkamah hari ini.
Kejadian tembakan secara rambang di sekolah sering berlaku di Amerika Syarikat dan dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan.
kejadian ini lebih mengundang kebimbangan kerana senjata api mudah dimiliki oleh orang ramai disebabkan peraturan yang tidak ketat, dan bilangan senjata melebihi jumlah penduduk.
Ini memberi peluang lebih mudah kepada orang ramai untuk memiliki senjata, termasuk senjata berbahaya.
Tanggungjawab ibu bapa dalam kejadian tembakan secara rambang yang dilakukan oleh remaja, semakin menjadi perhatian dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Presiden Joe Biden mempersoalkan bagaimana seseorang ibu bapa boleh membiarkan senjata yang berbahaya, seperti senapang serangan, berada di rumah tanpa mengambil langkah keselamatan seperti mengunci senjata tersebut.
Biden juga menyuarakan kebimbangan bahawa anak-anak mereka mengetahui di mana senjata itu disimpan, yang meningkatkan risiko ia disalahgunakan. - AFP