PARIS, 6 September - Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengarahkan mana-mana model pesawat Airbus A350-1000 yang sedang beroperasi di benua tersebut menjalani pemeriksaan segera.
Ia susulan insiden kebakaran enjin yang berlaku ke pesawat milik Cathay Pasifik baru-baru ini.
Pesawat Cathay dalam perjalanan dari Hongkong ke Zurich terpaksa berpatah balik selepas salah sebuah enjinnya mengalami kebakaran sejurus ia berlepas.
EASA memaklumkan, enjin pesawat buatan Rolls-Royce Trent berkenaan terbakar apabila hos bahan api bertekanan tingginya gagal berfungsi.
Kes tersebut sedang disiasat Pihak Berkuasa Penyiasatan Kemalangan Udara Hong Kong (AAIA) dan 48 pesawat itu telah dihenti tugas sementara bagi tujuan pemeriksaan.
Menurut EASA, terdapat 86 pesawat serupa sedang digunakan di dunia.
Insiden melibatkan pesawat Airbus 350-1000 milik Cathay Pasifik tersebut turut mendorong beberapa syarikat pemilik model sama melakukan pemeriksaan ke atas pesawat mereka.
Bagaimanapun, jelas EASA, langkah tersebut tidak melibakan 526 buah model A350-900 yang sedang beroperasi di seluruh dunia.
Kejadian itu turut mendorong pengeluar enjin pesawat berkenaan, Rolls-Royce Trent melakukan pemeriksaan ke atas enjin XWB-84 dan XWB-97, yang masing-masing digunakan oleh kedua-dua model pesawat tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati, hanya enjin XWB-97 yang dipasang pada pesawat Airbus A350-1000 dikhuatiri mengalami masalah terebut.-AFP