fb fb fb fb fb

Anak-beranak dituduh tembak mati empat individu di sekolah

Orang ramai meratapi pemergian empat mangsa yang ditembak mati di Sekolah Tinggi Apalachee pada Rabu lalu/Foto REUTERS

ATLANTA, 5 September - Ayah kepada remaja berusia 14 tahun, Colt Gray, yang disyaki menembak mati empat orang dalam kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Apalachee pada Rabu lalu ditahan.

Menurut Biro Penyiasatan Georgia (GBI), Colin Gray, 54, didakwa atas empat tuduhan membunuh tanpa niat, dua tuduhan pembunuhan kelas kedua, dan lapan tuduhan berkaitan kekejaman terhadap kanak-kanak.
 
“Tuduhan ini berpunca daripada tindakan ayah suspek yang dengan secara sedar membenarkan anaknya, Colt, memiliki senjata,” kata pengarah Biro Penyiasatan Georgia, Chris Hosey dalam satu sidang media.

Colt Gray telah didakwa atas empat pertuduhan pembunuhan feloni dan akan dibicarakan sebagai orang dewasa, kata pegawai.

Kedua-dua beranak terbabit pernah disoal siasat oleh pihak berkuasa tempatan di Jackson County pada tahun lalu berhubung ancaman dalam talian untuk melakukan tembakan di sekolah.

Bagaimanapun, menurut FBI tiada sebab yang kukuh untuk menahan mereka.

Dalam siasatan tahun 2023 itu, ayah suspek berkata memiliki senapang memburu di rumah, tetapi anaknya tidak mempunyai akses tanpa pengawasan kepada senjata tersebut.

Cara suspek mendapatkan senjata tersebut masih belum jelas.

Pakar dan penyokong keselamatan senjata berpendapat bahawa mendakwa ibu bapa dalam kes keganasan senjata api di sekolah adalah langkah penting untuk memastikan mereka lebih bertanggungjawab.

Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mendapati bahawa kira-kira 75 peratus penembak yang terlibat dalam insiden tembakan di sekolah memperoleh senjata api yang mudah diakses di rumah milik ibu bapa atau ahli keluarga. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN