LISBON, 17 Januari- Bobi yang memegang rekod anjing tertua di dunia 'digantung' bermula semalam selepas pihak Guinness World Records meragui usia sebenar haiwan tersebut.
Bobi meninggal dunia pada Oktober tahun lalu ketika berusia 31 tahun dan 165 hari.
"Semakan sedang berlangsung dan kami memutuskan untuk menghentikan sementara gelaran berkenaan sehingga semua penemuan (siasatan) selesai," ujar jurucakap badan pencatat rekod dunia itu.
Bagaimanapun, pihak terbabit tidak menyatakan lebih lanjut aspek yang menimbulkan syak wasangka mereka.
Namun, lapor media Birtain dan Amerika Syarikat, kaki Bobi didakwa kelihatan berbeza daripada segi warna dalam foto-foto ketika ia masih kecil berbanding fotonya semasa dewasa.
Pemilik Bobi, Leonel Costa pula menegaskan bahawa semua kecurigaan itu tidak berasas.
Costa berkata, prosedur pensijilan mengambil masa hampir setahun dan dia telah mematuhi semua keperluan yang dituntut oleh Guinness.
Bobi adalah baka Rafeiro do Alentejo iaitu jenis anjing pengawal yang mempunyai jangka hayat antara 12 ke 14 tahun.
Namun, Bobi didakwa hidup lebih dua kali lama daripada jangka hayat itu, melepasi anjing tertua sebelum ini yang dilahirkan pada 1910 dan hidup selama 29 tahun lima bulan. -AFP