fb fb fb fb fb

Reezal Merican pengerusi baharu MATRADE

(FOTO FAIL/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Bekas menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai pengerusi kesembilan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkuat kuasa serta-merta.

Reezal Merican mempunyai rekod prestasi yang luas dalam perkhidmatan kerajaan, pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022), Menteri Belia dan Sukan (2020-2021), dan Timbalan Menteri Luar (2015-2018).

Selain itu, beliau mempengerusikan Amanah Raya Bhd dari 2013 hingga 2015.

“Saya berbesar hati diberi peluang berkhidmat sebagai pengerusi MATRADE. Dengan peranan ini, digabungkan dengan kepimpinan Menteri MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), kami dapat memacu prestasi perdagangan dan eksport Malaysia dengan lebih baik untuk kekal cemerlang dan mencapai pertumbuhan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MATRADE pula menyifatkan pengalaman Reezal yang luas dalam hal ehwal antarabangsa, diplomasi, pentadbiran kerajaan dan perhubungan industri, membuatkan beliau berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin dan membimbing agenda promosi perdagangan nasional Malaysia dan memudahkan pelaburan berorientasikan eksport ke negara ini.


(FOTO FB MATRADE HQ)

Agensi itu berkata pelantikannya sebagai pengerusi akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian eksport Malaysia dalam pasaran global baharu dan sedia ada.

MATRADE ialah sebuah agensi di bawah MITI dan diberi mandat untuk melaksanakan inisiatif promosi perdagangan untuk negara.

Ditubuhkan pada 1993 selepas penggubalan Akta MATRADE 1992, MATRADE melaksanakan dua aktiviti teras: pembangunan pengeksport dan promosi eksport.

Pada masa ini, ia mempunyai enam pejabat serantau di Malaysia dan 46 pejabat global yang sentiasa bersedia untuk membantu syarikat Malaysia melalui program pembinaan kapasiti pengeksport, nasihat perdagangan dan kemudahan kewangan, pemadanan perniagaan, risikan pasaran dan akses pasaran, rundingan projek dan e-dagang.

Media Baharu