MONTEREY, 23 Ogos-Ratusan singa laut dilihat memenuhi pantai San Carlos di sini secara tiba-tiba.
Keadaan itu menyebabkan pegawai tempatan terpaksa menutup pantai peranginan berkenaan kepada orang ramai.
Meskipun pita amaran dipasang di pantai berkenaan, ia tidak menghalang para pengunjung untuk melihat lebih lanjut haiwan berkenaan.
Terdapat pengunjung yang mengambil foto haiwan berkenaan yang dilihat berehat dan bermain air dan pasir pantai tersebut.
Para penduduk tempatan berkata mereka sangat terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana bilangan haiwan mamalia itu terlalu banyak meskipun, kehadiran haiwan berkenaan adalah biasa di Teluk California.
Ahli Biologi Marin yang berkhidmat dengan Santuari Laut Nasional Monterey Bay, Lisa Uttal berkata keadaan tersebut mencetuskan persoalan mengapa haiwan berkenaan memenuhi pantai San Carlos sebagai kawasan istirehat dan bermain, namun Uttal percaya bahawa haiwan berkenaan mungkin tertarik dengan kepelbagaian ekosistem yang kaya dalam bekalan makanan.
Uttal juga memaklumkan hampir keseluruhan singa laut yang berkumpul adalah terdiri daripada jantina jantan.
"Mereka bermigrasi ke sini dari Ventura dan Kepulauan Channel.
"Mereka biasanya mengejar makanan kerana makanan di Santuari Laut Nasional Monterey Bay sangat produktif dan sangat kaya," kata Uttal.
Ujar Uttal, ratusan singa laut itu akan berada di pantai San Carlos selama tiga hingga empat minggu.
Dalam pada itu, salah seorang sukarelawan Santuari Laut Nasional Monterey Bay, Marge Brigadier berkata haiwan berkenaan merupakan haiwan yang dilindungi oleh undang-undang laut Amerika Syarikat (AS) di bawah Akta Perlindungan Hidupan Mamalia 1972.
Akta berkenaan melarang orang ramai mengubah tingkah laku singa laut yang bermaksud mendekati terlalu dekat atau memaksa mereka melarikan diri adalah satu bentuk pelanggaran undang-undang.-REUTERS