fb fb fb fb fb

Ratusan ribu penduduk Gaza hanya makan sekali setiap 2-3 hari

Foto Reuters

GAZA / ISTANBUL, 6 Mei - Ratusan ribu penduduk Palestin hanya makan sekali setiap dua atau tiga hari susulan sekatan Israel yang berterusan ke atas Semenanjung Gaza, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Lebih 66,000 kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan yang teruk,” kata jurucakap UNRWA Adnan Abu Hasna kepada saluran Al-Ghad TV dalam satu wawancara.

Sejak 2 Mac, Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza daripada menerima bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah pun genting di wilayah itu, menurut laporan kerajaan, kumpulan hak asasi dan pertubuhan antarabangsa.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 57 penduduk Palestin meninggal dunia akibat kebuluran sejak Oktober 2023.

Hampir 2.4 juta penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, menurut data Bank Dunia.

“UNRWA tidak akan terlibat dalam pelan baharu Israel” untuk pengagihan bantuan di Gaza kerana pelan itu “langsung tidak menepati piawaian PBB,” kata Abu Hasna.

Pada malam Ahad, Kabinet Keselamatan Israel meluluskan pelan untuk mengagihkan bantuan di wilayah yang dikepung itu melalui kontraktor keselamatan swasta.

Bagaimanapun, pelan itu ditolak PBB dan puluhan pertubuhan bantuan antarabangsa kerana didakwa bertentangan dengan prinsip kemanusiaan, tidak praktikal dari segi logistik dan boleh membahayakan penduduk Palestin serta petugas bantuan.

Pasukan Kemanusiaan Negara PBB di Gaza pada malam Ahad menyatakan mereka "hanya akan menyokong pelan yang menghormati prinsip kemanusiaan iaitu perikemanusiaan, berkecuali, bebas dan tidak memihak."

Lebih 52,500 penduduk Palestin terbunuh di Gaza dalam serangan ganas Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF