fb fb fb fb fb

Rakyat Palestin redah laluan maut demi kelangsungan hidup

Foto AFP

GAZA CITY, 6 Mei- Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terpaksa menempuh perjalanan jauh setiap hari demi mendapatkan makanan, di tengah kebuluran berterusan dan perang genosid Israel yang telah berlarutan lebih 19 bulan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Wartawan Anadolu mendokumentasikan perjuangan harian rakyat Palestin yang berjalan dari utara Gaza ke selatan menggunakan Jalan Pantai Al-Rasheed,satu-satunya laluan yang masih boleh digunakan selepas tentera Israel menutup Jalan Salah al-Din demi mendapatkan makanan untuk diri dan anak-anak mereka.

Mereka terpaksa menggunakan kereta kuda atau tuk-tuk (kenderaan roda tiga) setelah tentera Israel melarang pergerakan kenderaan dan lori di sepanjang jalan pantai itu.

Pemandu tuk-tuk, Majeed Dabbour, memberitahu Anadolu bahawa perjalanan yang dahulunya mengambil masa 15 minit kini mengambil masa dua jam untuk sampai ke rumah saudaranya di kem pelarian Nuseirat di Gaza tengah untuk mendapatkan tepung.

“Perjalanan penuh debu dan bahaya. Tuk-tuk tiada tempat duduk, bau minyak sangat menusuk, dan tekanan terhadap kami amat tinggi,” kata Majeed.

“Jalan pantai satu-satunya laluan terbuka, tetapi mana-mana kenderaan yang bergerak di situ menjadi sasaran serangan tentera Israel. Sebab itu kami terpaksa guna kenderaan primitif,” tambahnya.

Mereka tiada pilihan selain mengambil risiko demi mendapatkan tepung untuk anak-anak mereka yang telah lama disekat makanan secara sistematik oleh tentera Israel sejak lebih dua bulan lalu.

Sejak 2 Mac, Israel menutup semua pintu masuk ke Gaza bagi makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia parah, menurut laporan pihak berkuasa tempatan, badan hak asasi manusia dan agensi antarabangsa.

Pengurus Komunikasi Kanan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Jonathan Fowler, memberitahu Anadolu minggu lalu bahawa situasi kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap “paling buruk” sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023.

Majeed turut menyatakan tepung yang ada di utara Gaza sudah rosak dan tidak sesuai untuk dimakan.

“Tiada bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, tiada makanan, tiada pekerjaan, tiada pendapatan, dan tiada apa untuk dimakan di rumah,” katanya.

Penumpang yang menaiki kereta kuda atau tuk-tuk tanpa tingkap mahupun tempat duduk yang selesa dihimpit debu dan asap bahan api, menggambarkan kepayahan perjalanan mereka dan ketiadaan alternatif.

Perjalanan itu bukan sekadar untuk bergerak, tetapi umpama lari dari satu kematian kepada kemungkinan kematian lain.

Abdul Hamid, seorang daripada penumpang, menggambarkan perjalanannya dari utara ke Gaza tengah sebagai “penuh risiko dan bahaya.”

“Kami mengucapkan syahadah sebelum bergerak. Di belakang ada bot Israel di laut, di depan kereta kebal, dan di udara pesawat tentera. Bila-bila masa kami boleh dibom,” katanya.

Beliau menyifatkan jalan pantai itu kini sebagai “satu-satunya jalan berbahaya” selepas kenderaan diharamkan di situ.

“Kami hanya bertawakal kepada Tuhan dan terus bergerak,” katanya.

Seorang warga emas, Umm Eyad Al-Lehaam, menyifatkan perjalanannya buat pertama kali ke Khan Younis melalui jalan itu sebagai “meletihkan dan sukar bagi golongan tua.”

Pemandu tuk-tuk lain, Ahmed Al-Banna, yang membawa penumpang dari utara ke Gaza tengah, berkata perjalanan itu amat memenatkan bagi pemandu dan penumpang akibat keadaan jalan yang teruk dan enjin yang lemah.

“Kami biasanya perlu berhenti lebih sekali untuk berehat. Ada yang tidak bercakap langsung kerana terlalu letih atau takut. Tapi mereka tiada pilihan, mereka mahu sampai walau apa pun terjadi,” katanya.

Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Thawabteh, memberitahu Anadolu minggu lalu bahawa Gaza kini berada pada “tahap kebuluran yang serius” susulan penutupan sempadan yang berterusan dan serangan baharu Israel.

Lebih 52,500 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak serangan kejam Israel bermula Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.- BERNAMA-ANADOLU

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM