ISTANBUL, 1 Julai - Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di sekitar Masjid Taksim dan Mahkamah Caglayan, Istanbul, hari ini membantah penerbitan kartun kontroversi oleh majalah satira Leman, yang didakwa menghina Nabi Muhammad dan Nabi Musa.
Tunjuk perasaan itu berlangsung bawah kawalan ketat pihak polis, walaupun terdapat larangan berkumpul. Penunjuk perasaan melaungkan slogan mempertahankan Islam dan menuntut majalah tersebut bertanggungjawab.
Seorang penjawat awam, Muhammed Emin Necipsoy berkata, penerbitan kartun itu jelas satu penghinaan terhadap nabi-nabi yang dimuliakan dalam Islam.
"Walaupun mereka memberikan penjelasan, ia tetap tidak ikhlas dan secara halus menghina Nabi Muhammad dan Nabi Musa," katanya.
Wakil kumpulan Islam di Mahkamah Caglayan turut memfailkan aduan jenayah terhadap majalah berkenaan. Editor akhbar Hodri Meydan, Hasret Yildirim pula memberi amaran bahawa pihaknya bertindak secara demokratik, namun mengingatkan insiden tragis seperti serangan ke atas majalah Charlie Hebdo di Perancis boleh berlaku jika sensitiviti umat Islam terus dipermainkan.
Majalah Leman sebelum ini menjelaskan dalam kenyataan bahawa kartun tersebut tidak merujuk kepada Nabi Muhammad, sebaliknya menggambarkan dua nama, 'Mohammad' dan 'Moses', dalam konteks peperangan rejim Israel dan Iran.
Kartunis, Dogan Pehlevan, dikatakan ingin menonjolkan penderitaan seorang lelaki Islam yang terkorban dalam serangan Zionis dan tidak berniat menghina Islam atau Rasulullah.
Namun, kartun tersebut tetap menimbulkan kemarahan masyarakat Islam yang menganggap sebarang gambaran Nabi Muhammad adalah satu penghinaan serius.
Menteri Dalam Negeri Turki, Ali Yerlikaya dalam satu kenyataan memaklumkan, kartunis berkenaan serta beberapa individu lain telah ditahan oleh pihak polis. -REUTERS