HATAY, 1 Julai - Kebakaran besar hutan melanda beberapa wilayah di Turki, memaksa lebih 50,000 penduduk dipindahkan dalam operasi kecemasan yang sedang giat dijalankan.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD), kira-kira 42,000 mangsa yang dipindahkan adalah dari wilayah Izmir yang merupakan wilayah paling terjejas. Kebakaran dilaporkan bermula sejak Isnin malam dan merebak pantas, menyebabkan asap tebal memenuhi udara dan memusnahkan kawasan berbukit yang dipenuhi pokok kering.
Helikopter pemadam kebakaran dikerahkan untuk mengawal api, sementara pasukan penyelamat dan kenderaan kecemasan berusaha memadamkan kebakaran yang terus merebak ke kawasan penempatan.
Di Hatay, keadaan menjadi semakin kritikal dengan api marak serta asap tebal yang mengancam keselamatan penduduk. Kebakaran juga memusnahkan beberapa bangunan dan kawasan tanah kering, dengan pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan api menggunakan jentera dan sistem pancutan air.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kawasan pantai Turki kerap dilanda kebakaran hutan yang serius, berikutan musim panas dan kering, susulan kesan perubahan iklim.
Setakat ini, usaha pemadaman masih diteruskan di lima wilayah yang terjejas, termasuk Hatay dan Izmir - REUTERS